Wacoal, NST lancar Kempen Pink Ribbon

Publication: Berita Harian (Online)
Article Link

Bahaya kanser payudara

Kempen bertujuan memberi kesedaran terhadap bahaya penyakit kanser payudara yang menjadi pembunuh nombor satu dalam kalangan wanita di seluruh dunia.
Ratu Cantik Malaysia 2013, Melinder Kaur Bhullar selaku Duta Pink Ribbon tahun ini, turut membuat penampilan pada kempen berkenaan.
Pada majlis itu, penganjur dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) menyediakan gerai yang memberi pendedahan mengenai cara pemeriksaan payudara sendiri dan mengukur payudara, klinik bergerak MAKNA untuk ujian mamogram serta pendedahan mengenai pemilihan pakaian dalam yang sesuai kepada pesakit selepas menjalani pembedahan membuang payudara.
Hadir sama, Timbalan Pengarang Kumpulan NST, Abd Rashid Yusof; Pengarah Eksekutif Wacoal Malaysia, Takashi Watanabe; Pengarah Wacoal Malaysia, Vincent Leong dan Timbalan Pengurus Besar MAKNA, Vemanna Appannah.

Bantu wanita

Sementara itu, Takashi berkata, kempen itu seiring dengan prinsip asas syarikat berkenaan bagi memberi sumbangan kepada masyarakat dengan membantu wanita dalam aspek kecantikan.
“Penyakit kanser payudara boleh dirawat jika tanda kanser dapat dikesan lebih awal. Oleh itu, kami menitikberatkan kepentingan pemeriksaan payudara,” katanya.
Beliau juga berkata, kerjasama strategik antara NST dan Wacoal Malaysia membantu memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai penyakit itu.
Dalam pada itu, pesakit kanser payudara, Shahida Mat Saad, 37, dari Pantai Dalam di sini, berkata dia dikesan menghidap penyakit itu kira-kira lima tahun lalu yang ketika itu sudah berada pada tahap ketiga.
“Selepas menjalani rawatan membuang keseluruhan payudara di sebelah kanan, penyakit itu sudah pulih sepenuhnya,” katanya.