Bufet Ramadan: Felda D’Saji Sasar Jualan RM2.2 Juta

Publication: Milenia Online
Article Link

SYARIKAT katering Felda D’Saji Sdn Bhd, anak syarikat Felda dan Koperasi Permodalan Felda menyasarkan hasil jualan sebanyak RM2.2 juta bufet Ramadan di Dewan Perdana Felda serta Restoran Felda Villa tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zaki Abdullah berkata, tahun lepas kedua-dua venue yang masing-masing menawarkan harga RM85 dan RM69 seorang itu mencatat hasil jualan sebanyak RM1.7 juta.

“Untuk tahun ini, kita menawarkan lebih 111 menu yang akan disediakan 40 chef dengan menu istimewa termasuk makanan Arab, masakan kampung dan pelbagai lagi juadah tradisi Melayu dan antarabangsa,” katanya kepada pemberita pada majlis prebiu bufet Ramadan di Restoran Felda Villa di Kuala Lumpur pada Isnin, 26 Mei.

Beliau berkata, pihaknya juga menjangkakan kehadiran lebih 30,000 tetamu berbanding 26,000 tahun lepas bagi kedua-dua venue.

Lebih menarik, tahun ini Felda D’Saji akan bekerjasama dengan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) bagi memberi peluang kepada setiap tetamu menyumbang untuk aktiviti kebajikan kepada pesakit kanser, katanya.

“Kami akan mendermakan RM1 bagi pihak tetamu kami kepada Tabung MAKNA dengan jumlah sasaran minimum sumbangan sebanyak RM25,000,” katanya. – Bernama