Majlis Lebaran Kasih Yayasan Felda 2014

Publication: Yayasan Felda
Article Link

Yayasan Felda telah mengadakan Majlis Lebaran Kasih Yayasan Felda pada 14 Ogos 2014 di Casa Heliconia, Felda D’Saji.
Lebih 5000 tetamu telah menghadiri majlis tersebut. Diantaranya para petugas FELDA dan anak-anak syarikat kumpulannya termasuk FELDA Global Ventures, tetamu-tetamu kenamaan serta rakan-rakan media. Pengarah Urusan/Ketua Eksekutif Yayasan Felda, Y. Bhg. Dato’ Sri Dr. Emel Faizal Dato’ Mohd Mokhtar bersama para petugas Yayasan Felda menjadi hos majlis dengan melayani tetamu yang datang. Beliau ternyata gembira dan mengucapkan terima kasih kepada tetamu yang datang. Kehadiran tetamu dari Kumpulan FELDA dan luar FELDA menunjukkan sokongan mereka kepada Yayasan Felda sebagai badan yang menjalankan kerja-kerja kebajikan dan CSR kepada masyarakat FELDA dan warganegara Malaysia.

Di antara dif-dif utama yang hadir ialah YB Dato’ Razali Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Y. Bhg. Dato’ Omar Salim, Unit Kawal Selia FELDA; Y. Bhg. Dato’ Khairil Anuar Aziz, COO Felda Global Ventures (FGV); Tuan Haji Khairudin Haji Mohamed, Pengarah Seranta FELDA Jabatan Perdana Menteri, Pengarah-pengarah FELDA, Ketua-ketua Eksekutif Syarikat Kumpulan FELDA serta semua Kakitangan FELDA dan Kumpulan FELDA. Majlis bertambah meriah dengan kehadiran tiga Datuk Undang iaitu ke Bawah Kaus Yang Teramat Mulia Mandika Menteri Akhiru Zaman Dato’ Haji Bin Wahab, Datuk Undang Luak Jelebu; Ke Bawah Kaus Yang Teramat Mulia Dato’ Lela Maharaja Dato’ Hj. Mohamad Sharif Bin Hj. Othman, Datuk Undang Luak Rembau; Duli Yang Teramat Mulia Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Hj. Mohd Jan Bin Abd Ghani, Datuk Undang Luak Johol dan Yang Teramat Mulia Dato’ Baginda Tan Mas Luak Johol Dato’ Muhammad Bin Hj. Abdullah.

YB Dato’ Razali Ibrahim di dalam ucapan ringkasnya mengucapkan tahniah kepada Pengurusan Yayasan Felda yang telah berjaya mengadakan Majlis Lebaran Kasih Yayasan Felda. Kehadiran tetamu dari Kumpulan FELDA serta luar FELDA menggambarkan kerjasama yang erat telah terjalin sesama FELDA dan luar FELDA. Yayasan Felda berjaya menjadi jambatan yang menjalinkan kerjasama dari pelbagai peringkat di Kumpulan FELDA serta masyarakat di sekitar dan luar FELDA. Keseragaman pada semua pegawai dan kakitangan pula membuktikan semangat berpasukan yang dimiliki oleh Yayasan Felda bagi melaksanakan tugasan masing-masing.

Majlis juga turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Mantan Pengerusi FELDA dan Pengerusi Yayasan Felda iaitu Yang Mulia RM Alias, bekas-bekas Pengurus Besar Yayasan Felda iaitu Encik Hamdan Husin dan Encik Zalfan Mohd Rashid serta bekas-bekas kakitangan Yayasan Felda.

Di majlis ini, artis-artis Veteran juga turut bersama-sama secara sukarela telah hadir dan menghiburkan para hadirin. Sebagai rakan kerjasama Yayasan Felda di dalam majlis yang diadakan sebelum ini mereka sama-sama terlibat di dalam majlis. Turut hadir Pengerusi Yayasan Artis Veteran Malaysia iaitu Puan Kismah Johar, Dato’ Jefri Din, Dato’ Mustafa Maarof, Dato’ Jalil Hamid serta ramai lagi artis veteran yang turut sama hadir memeriahkan majlis pada hari tersebut.

Gelagat pengacara majlis iaitu pelakon dan pelawak, Abon dan Zam Zailan yang dibantu oleh Encik Kasim Yusof dari Gayo Teknologi turut mencuit hati hadirin. Ikatan Seni Anak Felda (ISKAF) juga turut terlibat dalam memeriahkan majlis dengan menyumbangkan lagu-lagu nasyid dan ghazal.

Selain daripada pelbagai jenis hidangan oleh Felda D’Saji seperti Nasi Beriani, Nasi Impit, Sate, Lemang, Rendang, Kambing Bakar serta kuih-muih tetamu turut dihidangkan juga Apam Balik, Cucur Pisang dan Ikan Bilis serta Cendol yang ditempah khas.
Menurut Y. Bhg. Dato’ Dr. Sri Emel Faizal Dato’ Mohd Mokhtar, rakan kongsi yang telah memberikan kerjasama dengan Yayasan Felda di dalam menjalankan aktiviti ’Kami Prihatin Yayasan Felda’ turut bersama menjayakan majlis. Mereka terdiri daripada BN1M, Kakitangan Vista Prihatin (Pemeriksaan Mata), MCO (Pemeriksaan Kesihatan), MAKNA (Pemeriksaan Saringan Kanser Payu Dara), Yayasan Perdana dan City & Guilds, London.
”Majlis Lebaran Kasih Yayasan Felda ini dapat merapatkan lagi hubungan sesama kakitangan Kumpulan FELDA serta mereka yang mempunyai kaitan secara lansung atau tidak lansung dengan Yayasan Felda dan Kumpulan FELDA secara amnya,” katanya lagi.