Trans De’ Johor Semarakkan Semangat Patriotik, Beri Penerangan Mengenai Kanser

Source: Bernama Publication: Borneo Post Online
Article Link

JOHOR BAHARU, 21 Ogos (Bernama) — Program Kayuhan Anak Merdeka atau Trans De’ Johor bakal memberi penerangan mengenai kanser, selain menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat menjelang sambutan Hari Kemerdekaan, Ahad depan.

Pengarah Projek Mohamed Khairi Mohamed Shakif berkata kayuhan sejauh 614 kilometer itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Majlis Belia dan Sukan Johor dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

“Sebanyak 30 peserta terdiri daripada penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dan ahli kelab berbasikal sekitar bandaraya ini bakal menyertai program yang bertemakan ‘Hidup Sihat Tanpa Kanser’,” katanya kepada pemberita selepas upacara pelepasan peserta di perkarangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini, Khamis.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor Datuk Zulkurnain Kamisan.

Mohamed Khairi berkata program anjuran Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Perdana UTM itu adalah bagi mengumpul dana untuk membantu pesakit kanser menerusi sumbangan kepada tabung MAKNA selain menyemarakkan semangat patriotik sempena kemerdekaan negara ke-57.


“Kayuhan yang bermula hari ini hingga 30 Ogos adalah kesinambungan program Trans 1 Malaysia yang diadakan pada Ogos tahun lalu. Peserta akan berbasikal mengelilingi Johor sambil mengibarkan jalur gemilang dan mengedarkan tabung derma di setiap hentian,” katanya.

Mohamed Khairi berkata, program berkenaan tidak hanya tertumpu kepada aktiviti kayuhan berbasikal sebaliknya akan diselang-selikan dengan karnival serta khidmat masyarakat di kawasan terpilih.

Peserta kayuhan akan melalui sekitar daerah Batu Pahat, Bandar Maharani di Muar, Kolej Matrikulasi Johor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Kampung Bentong Kluang, Politeknik Mersing dan Savannah Hill Ulu Tiram.

Antara aktiviti sampingan yang akan diadakan sepanjang program itu termasuk larian kemerdekaan dan gotong-royong membersihkan kubur, masjid serta pantai.

Selain itu, peserta akan singgah ke sekolah untuk mengadakan kem pendidikan bagi mengeratkan hubungan dan mendedahkan para pelajar mengenai kehidupan di universiti.