Aplikasi inovasi sosial dalam proses transformasi negara – PM

Publication: Utusan Online
Article Link

NAJIB Tun Razak menyampaikan Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2014 kepada Mohd Irwan Serigar Abdullah (tiga dari kiri) dan Aminuddin Hassim (tiga dari kanan) dalam majlis penyampaian anugerah itu di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan, Mah Siew Keong (dua dari kiri) dan Ali Hamsa (dua dari kanan). – BERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA 5 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu inovasi sosial turut diaplikasikan dalam proses transformasi negara kerana pendekatan tersebut boleh memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
Perdana Menteri berkata, inovasi sosial walaupun berbeza dengan inovasi dalam bentuk lain seperti inovasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) atau inovasi produk namun peranannya cukup besar khususnya kepada rakyat.

“Saya hendak katakan bagaimana kita boleh membawa transformasi dan kemudian kesannya boleh dirasai oleh rakyat. Di sini letaknya konsep inovasi sosial dan sekiranya kita sebut mengenai inovasi banyak yang melihat kepada inovasi dari segi R&D atau inovasi dari segi produk.
“Inovasi sosial sebenarnya merupakan salah satu cabang yang boleh membawa kesan inovasi (secara langsung) kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mah Siew Keong; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Datuk Omar Kaseh.
Mengulas lebih lanjut, Najib berkata, dalam usaha mengaplikasikan inovasi sosial di negara ini terdapat dua ciri utama yang perlu dilaksanakan.

“Pertama, inovasi sosial menerusi pendekatan eksperimen iaitu penciptaan idea-idea baharu perlu dibahaskan, diuji kaji, diciptakan prototaip dan dijalankan projek perintis tanpa perlu takut kepada percubaan berulang atau kegagalan bagi mendapatkan hasil terbaik,” katanya lagi.

Beliau berkata, ciri kedua pula adalah memperluas saluran dan akses rakyat sebagai pengguna perkhidmatan untuk menyatakan kehendak serta jangkaan mereka terhadap penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Sementara itu, Pusat Transformasi Bandar (UTC) di bawah Kementerian Kewangan dinobat sebagai pemenang Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2014 (AIPM 2014) dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1 juta, trofi dan sijil penghargaan daripada Najib.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah dan Timbalan Pengarah Kanan Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan, Dr. Aminuddin Hassim menerima hadiah tersebut sebagai wakil UTC.
UTC berjaya mengalahkan enam pesaingnya di peringkat akhir iaitu Kementerian Kesihatan, Kerajaan Negeri Melaka serta Jabatan Pengairan dan Saliran Melaka, Majlis Kanser Nasional, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Sementara itu, Mohd. Irwan Siregar ketika ditemui selepas majlis anugerah tersebut berkata, kewujudan UTC benar-benar memberi kesan kepada rakyat kerana memudahkan mereka berurusan dengan agensi-agensi kerajaan khususnya selepas waktu bekerja.
Pada masa ini, terdapat lapan UTC iaitu di Melaka, Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak manakala satu UTC mini di Sentul (Kuala Lumpur) dengan kehadiran pelanggan sebanyak 1.7 juta sehingga Julai lalu.