Dua waris ATM terima sumbangan BHPetrol

Publication: Sinar Harian
Article Link

KUALA LUMPUR – Syarikat Bousted Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) hari ini menyampaikan sumbangan masing-masing berjumlah RM10,000 kepada dua keluarga anggota tentera yang terkorban ketika bertugas di Lahad Datu, Sabah.

Naib Pengerusi Boustead Holdings Berhad, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin yang juga Ketua Lembaga Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berkata, mereka adalah Allahyarham Koperal Ahmad Hurairah Ismail, 24, dan Allahyarham Koperal Ahmad Farhan Ruslan, 21, yang masing-masing diwakili bapanya.

“Allahyarham Ahmad Hurairah terkorban semasa pertempuran dengan pengganas di Kampung Tanjung Batu pada 12 Mac 2013 dan Allahyarham Ahmad Farhan terkorban dalam kemalangan jalan raya semasa operasi di Lahad Datu pada tarikh sama,” katanya kepada pemberita selepas acara larian tahunan BHPetrol ‘Orange Run’ di Plaza E-Curve di sini, hari ini.

“Sumbangan ini adalah hasil kutipan syarikat dan peserta larian hari ini. Diharap bantuan ini dapat meringankan beban anggota keluarga mangsa menjalani kehidupan seharian,” katanya.

Larian tahunan BHPetrol kesembilan itu turut mendapat kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Petaling Jaya dan Affin Bank, Majlis Kanser Nasional dan Good Samaritan Home.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV) Mejar Jeneral Datuk Wira Mohd Noor Daud.

Sementara itu, bapa kepada Ahmad Hurairah, Ismail Husin dan bapa kepada Ahmad Farhan, Ruslan Hassan, melahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang menyampaikan sumbangan bagi menghargai jasa dan pengorbanan anak mereka. – Bernama