Kementerian Kewangan dinobat pemenang AIPM 2014

Publication: Kosmo
Article Link

PUTRAJAYA – Konsep horizon baharu penyampaian perkhidmatan melalui Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang diperkenalkan oleh Kementerian Kewangan ternyata membawa tuah apabila ia dipilih sebagai pemenang Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2014 sekali gus menggondol hadiah wang tunai RM1 juta.
Anugerah itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Majlis AIPM 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Melalui UTC, kementerian itu menyediakan pusat sehenti yang berjaya menggabungkan antara 30 hingga 60 agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan di bawah satu bumbung yang beroperasi dari pukul 8.30 pagi hingga 10 malam tujuh hari seminggu.

‘Melestarikan Inivasi, Memertabatkan Transformasi’ dipilih sebagai tema AIPM 2014 sebagai kelangsungan amalan inovasi dalam perkhidmatan awam dan menjadi tunjang kejayaan agenda transformasi negara serta pencapaian negara yang lebih memberangsangkan.
Majlis itu dianjurkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu).
Selain Kementerian Kewangan, antara finalis AIPM 2014 termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia, Kerajaan Melaka dan Jabatan Pengairan dan Saliran, Majlis Kanser Nasional, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Seberang Perai. – KOSMO!