Astro Bella Berlari Bersama MAKNA

Publication: Karangkraf
Article Link

Sempena bulan kesedaran barah payudara Oktober ini, Astro Bella (Saluran 133) dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) akan bergabung tenaga untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia berkenaan kanser payudara.
Sebagai saluran khusus memenuhi citarasa penonton wanita, Astro Bella akan melancarkan kempen Riben Pink sepanjang bulan Oktober sehingga ke hari larian MAKNA Founder’s Night Run (MFNR) yang akan diadakan pada 1 November 2014 di Kompleks Sukan Air, Presint 6, Putrajaya.

Bagi mengukuhkan lagi kerjasama antara Astro dan MAKNA, larian untuk kategori Terbuka Wanita 15KM dan Terbuka Wanita 10KM akan dinamakan Astro Bella Runs with MAKNA. Selebriti Astro dan artis komedi Super Lawak FC turut hadir untuk menjayakan acara larian tersebut.

“Saya mewakili pihak Astro Bella amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan pihak MAKNA untuk menjayakan larian MAKNA Founder’s Night Run pada 1 November nanti. Kami berharap agar ramai rakyat Malaysia akan hadir pada hari tersebut untuk memberi sokongan yang besar kepada perjuangan mereka,” ujar Pengurus Saluran Astro Bella, Cik Natasha Hashim.

Sepanjang kempen Riben Pink di Bella, para pelanggan Astro Bella dapat mengetahui lebih lanjut mengenai barah payudara dengan menekan butang merah di alat kawalan jauh Astro. Ini adalah antara inisiatif Astro Bella untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kanser payudara yang merupakan kanser yang paling banyak menyerang wanita di Malaysia.

Selain itu, Astro Bella akan turut menyiarkan klip-klip temu bual bersama rakyat Malaysia yang terdiri daripada para doktor, penghidap kanser, bekas pesakit kanser dan juga artis-artis tempatan sepanjang bulan ini.
Selain itu, saluran Melayu Astro seperti Astro Ria, Astro Prima, Astro Citra dan Astro Mustika HD akan menayangkan 12 rancangan tempatan dan antarabangsa sempena bulan kesedaran barah payudara ini. Antara program khas sempena bulan kesedaran barah payudara adalah ‘Menuju Taubatan Nasuha’ (Astro Ria, Saluran 104), Nur Iman (Astro Prima, Saluran 105), Habibie & Ainun (Astro Citra, Saluran 131) dan What Women Keep in Silence (Astro Mustika HD, Saluran 134).