Perkim UniKL beri semangat baharu kepada pesakit

Publication: Utusan Online
Article Link

WAHAI umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Yunus: 57)

Kebajikan merupakan suatu perbuatan yang akan membawa kebaikan dan pertolongan di antara sesama Muslim. Setiap individu berusaha dan berlumba-lumba melakukan amalan soleh dan kebajikan serta menyegerakan berbuat sesuatu tanpa ditangguh-tangguh.

Sehubungan dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan bersama Kelab Perkim Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkesempatan menziarahi 100 pesakit di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Jalan Yaacob Latib, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada hari tersebut juga, Perkim Kebangsaan bersama 30 ahli Kelab Perkim UniKL menghulurkan buah tangan kepada pesakit sambil bertanya khabar.

Ketua Jabatan Ortopedik dan Traumatologi PPUKM, Prof. Madya Dr. Zamari Sapuan dalam ucapan aluannya berkata, program khidmat masyarakat itu secara tidak langsung memberi perangsang dan semangat positif kepada pesakit meneruzi aktiviti ziarah dan penyampaian buah tangan.

Jelas Dr. Zamari lagi terdapat empat wad di Jabatan Ortopedik iaitu wad tulang belakang dan sakit puan serta majoriti pesakit ditempatkan di situ mengalami kemalangan.
Rombongan ziarah telah diketuai Pegawai Dakwah dan Inovasi Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Yang DiPertua Kelab Perkim UniKL, Abdul Rahim Mohamed serta dibantu Pegawai Perhubungan Awam PPUKM, Norhayati Md Raji.

Muhammad Farhan berkata, program ziarah itu bertujuan untuk menyedarkan masyarakat tentang tanggungjawab sosial terhadap golongan yang memerlukan bantuan serta ia merupakan program berkala yang dilakukan di setiap hospital kerajaan dan swasta.

Mesej prihatin
“Mereka yang mengalami penyakit kronik perlu dikuatkan jiwa dan emosinya agar dapat dibina semula keyakinan diri mereka, meskipun diduga dengan masalah kesihatan.
“Kata-kata perangsang dan simpati merupakan suatu terapi yang boleh meringankan beban pesakit. tanpa berbekalkan semangat yang kuat, sudah pasti pesakit ini tidak mampu untuk mengharungi penyakit yang dihidapi itu,” jelas Muhammad Farhan.
Malah usaha ini bukan sahaja dapat merapatkan silaturahim, tetapi mengeratkan perpaduan tidak mengira agama, bangsa atau warna kulit.

Sekali gus mesej prihatin ini dapat membuka mata masyarakat betapa pentingnya amalan dan budaya menziarahi pesakit ini. Di samping melawat pesakit di Wad Spinal dan Wad Perempuan, rombongan turut mengunjungi pesakit yang menghidap kanser di Wad Onkologi Tengku Ampuan Afzan yang dikelolakan bersama Institut Kanser Majlis Kanser Nasional (Makna) IKM – PPUKM. Wad tersebut memberi kemudahan yang komprehensif untuk pesakit kanser terutama yang kurang bernasib baik atau mereka yang kurang berkemampuan.

IKM-PPUKM sahaja yang merawat pesakit yang dirujuk oleh doktor-doktor kerajaan atau swasta dan kos pembayaran rawatan yang ditanggung oleh pesakit bergantung kepada kemampuan pesakit atau keluarga sama ada percuma, bayaran nominal atau bayaran penuh.

Rombongan juga dibawa melawat ke beberapa tempat di dalam PPUKM iaitu sudut informasi dan perkhidmatan kesihatan, farmasi satelit pediatrik, lobi pelawat dan klinik pesakit luar.
Mereka juga berharap kerjasama yang terjalin di antara PPUKM dengan Perkim akan terus dilakukan untuk memberi sokongan berterusan dan berharap agar Perkim dapat mendedahkan aktivitinya melalui pameran untuk maklumat umum.