Sokongan keluarga 
lawan kanser

Publication: Utusan
Article Link

SETIAP hari, Roslan Samsuri menjalani rutin hariannya dengan penuh semangat. Anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini bekerja keras saban hari memandu bas dan van kilang di sebuah kilang yang terletak di kawasan Parit Raja, Batu Pahat, Johor demi mencari sesuap nasi menyara keluarganya.


Tanyalah kepada sesiapa yang mengenalinya, lelaki berusia 41 tahun ini seorang yang ceria dan cergas bekerja. Apabila punya duit lebih, dia gemar membawa isteri dan anak-anak makan di luar.
Semuanya berubah empat tahun lalu. Cerita isterinya, Zainurisham Sumari, bapa kepada tiga orang anak lelaki ini mengalami gangguan kesihatan sehingga mengganggu prestasi kerjanya kerana asyik berulang-alik ke hospital.

Sejak tahun 2011 hingga 2013, tahap kesihatannya agak rumit dan memaksa beliau berhenti kerja disebabkan keluar masuk hospital.
Ketika itu, pedih di bahagian perut yang berlarutan disangkanya sebagai masalah gastrik. Walaupun menyedari dia sering kehilangan darah ketika membuang air besar, Roslan tidak mengesyaki sesuatu yang lebih serius daripada penyakit gastrik.
Akhirnya, 27 Januari tahun lalu, Roslan terpaksa dibedah dan disahkan mempunyai ketumbuhan pada usus kecilnya yang doktor klasifikasikan sebagai kanser usus tahap tiga.
“Saya sebagai isteri yang bertanggungjawab menjaganya sepanjang tempoh dia (Roslan) sakit sehinggalah hospital menetapkan beliau perlu menjalani kimoterapi sebanyak 12 kali.
“Kepayahan dan kejerihan hidup membuatkan hidup suami saya tertekan dan dibelenggu dengan masalah kos hidup dan rawatan. Tambah pula keadaannya yang belum boleh bekerja, sementara saya pula hanya mengasuh bayi.
“Memikirkan rasa tanggungjawab membantu suami, saya juga melakukan pelbagai kerja sambilan bagi menampung keperluan keluarga.
“Boleh dikatakan hari-hari yang dilalui ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Sebaik-baik sahaja bangun tidur, pasti memikirkan apa hendak dibuat untuk mendatangkan duit.
“Hanya Allah yang tahu apa yang terbendung dalam fikiran dengan keadaan anak-anak bersekolah, rumah sewa, dan terpaksa ulang alik ke hospital,” ujar Zainurisham pasrah mengenangkan saat susah dia dan keluarga. Namun, ujarnya, dia sentiasa memberi sokongan kepada suami untuk kuat melalui semua dugaan ini dan dia sendiri berkata kepada dirinya untuk turut sama kuat demi keluarganya.
Dalam keadaan kesukaran dan tidak tahu dari mana untuk mendapatkan bantuan, dia bersyukur apabila mengenali Pengasas Pertubuhan Kebajikan Johor I Care Negeri Johor (JICS), Latipah Sa’at yang datang ke wad suaminya bagi memberi penerangan tentang kanser selain memberi kata-kata semangat kepada mereka memandangkan Latipah juga merupakan bekas pesakit kanser.
“Puan Latipah banyak membantu saya dan keluarga. Melalui dia, kami diberi bantuan dari segi sumbangan dan barang-barang dapur daripada JICS dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA).
“Saya dapat lihat suami saya mula bersemangat ditambah pula dengan bantuan perbelanjaan daripada adik saya, Rosnita seorang jururawat di Hospital Kuala Lumpur.
“Bantuan serta sokongan orang sekeliling membuatkan suami saya mula sedar bahawa kanser bukan penamat sesuatu kehidupan. Saya dapat lihat semangat juang pada dirinya menjalani rawatan kanser terutama kimoterapi yang mempunyai pelbagai kesan sampingan menyakitkan, demi saya dan anak-anak.
“Apa yang paling menggembirakan saya apabila melihat cara hidup suami saya bertukar terutamanya dari segi pemakanan. Kalau dahulu, dia suka mengambil makanan yang pedas dan berminyak, sekarang Roslan tidak lagi mengamalkan pemakanan yang tidak sihat.
“Dia juga menekankan pemakanan yang sihat kami sekeluarga. Sekarang, suami saya masih menjalani rawatan kemoterapi yang kesebelas dan berharap selepas kemoterapi terakhir nanti, dia bebas daripada kanser,” ujar Zainurisham yang turut melahirkan rasa bangga apabila Roslan baru-baru ini dianugerahkan gelaran “Wira Kanser” oleh MAKNA kerana semangatnya.
Zainurisham berharap orang ramai jangan berhenti berusaha mendapatkan rawatan jika dikesan menghidapi kanser. Nasihatnya, dapatkan pencerahan dan maklumat tentang kanser daripada orang berkenaan atau badan-badan yang berpengalaman untuk terus menjalani rawatan di hospital dan hidup sihat.
“Jangan sesekali mendengar kata-kata negatif orang lain yang hanya melemahkan semangat pesakit. Jaga pemakanan harian dan ikut rawatan daripada pihak hospital seperti yang telah ditetapkan,” nasihatnya yang kini aktif menyertai aktiviti JICS bersama suami.