Usaha cari penawar baharu kanser MUHAMAD ADZHAR TAJUDDIN

Publication: Sinar Harian
Article Link

IPOH – Majlis Kanser Nasional (Makna) sedang giat melakukan kajian bersama beberapa buah universiti tempatan dalam mencari penawar baharu bagi merawat penyakit kanser yang disifatkan antara tertinggi dihidapi masyarakat di negara ini.

Presiden Makna, Datuk Mohd Farid Ariffin berkata, kajian melibatkan beberapa jenis tumbuhan tempatan yang dikenal pasti berkemungkinan mampu menyembuhkan kanser itu berjalan lancar.

Menurutnya, usaha itu dilakukan bersama Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 2001.

“Saya tak mahu memberi harapan tetapi berkemungkinan besar beberapa jenis tumbuhan mungkin boleh menjadi penawar baharu kepada penyakit kanser,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Sukarelawan Makna di Hotel Syuen, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Makna, Farahida Mohd Farid dan Ahli Makna, Prof Dr IshakMat.

Menurutnya, antara punca ribuan penduduk di negara ini menghidap penyakit kanser adalah disebabkan pengaruh gaya hidup dan faktor pemakanan.

“Paling kritikal adalah pemakanan, orang Malaysia ini ada yang sehari makan sampai tujuh kali sedangkan kita mengetahui bahawa kebanyakan jenis makanan tidak mempunyai khasiat dan menyumbang kepada pelbagai penyakit,” katanya.

Sementara itu, Farahida berkata, penduduk di Sabah dan Sarawak khususnya di kawasan pedalaman bakal menikmati kemudahan pusat rawatan bergerak yang menawarkan perkhidmatan mamogram tahun depan.

“Ia lebih kepada perkhidmatan mamogram iaitu pemeriksaan saringan sinar X yang dilakukan untuk mengesan peringkat awal kanser payudara,” katanya.

Beliau berkata, pusat rawatan bergerak itu dianggarkan bernilai lebih RM3 juta dan semua kos tersebut dibiayai Makna.