Travelling Beruang – Dari Telefilem Ke Kempen

Article Link

Aktor popular, Ungku Ismail Aziz tidak sangka tawaran untuk membintangi telefilem ‘Travelling Beruang’ terbitan Balang Rimbun Sdn Bhd menjadi satu titik permulaan penuh bermakna buat dirinya dalam melaksanakan sebuah kempen kesedaran kepada masyarakat tentang penyakit kanser di kalangan kanak-kanak.
Sebagai permulaan, pelakon drama popular ‘Teman Lelaki Upahan’ di slot Akasia ini mengambil inisiatif dengan berkongsi informasi menerusi laman Instagram miliknya (@ungkuismailaziz) serta meminta pengikut Instagram bergambar mengenakan topeng muka seperti yang sering digunakan pesakit kanser untuk tujuan kebersihan.
Ungku Ismail teruja bila inisiatifnya diterima ramai

Ternyata inisiatif murni jejaka berusia 30 tahun ini menarik perhatian pihak stesen televisyen TV3 yang kemudiannya menemubual pelakon itu menerusi program ‘Malaysia Hari Ini’ edisi 25 Mei. Hasilnya, ia berjaya menarik keprihatinan badan korporat Air Asia Berhad dan Altel dalam sama-sama merealisasikan hasratnya ini, sekaligus mewujudkan kempen yang menggunakan tajuk yang sama, Travelling Beruang.

“Secara jujur, saya tidak tahu bagaimana idea ini boleh timbul. Namun, apa yang pasti saya lebih teruja kerana tak sangka orang akan melayan idea saya. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada TV3, Air Asia, Altel dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) atas sokongan mereka,” ujar pencetus Travelling Beruang, Ungku Ismail ketika ditemui pada Selasa.

Namun, dia sendiri mengakui tidak tahu bagaimana timbulnya idea tersebut

“Saya harap dengan kempen ini, orang akan lebih memahami apa itu kanser sejak dari awal. Kalau boleh saya juga tak nak letakkan diri saya sebagai artis dalam melakukan perkara ini. Saya mahu meletakkan diri saya sebagai manusia, sebagai seorang adik, abang atau apa saja kerana saya mahu melaksanakan perkara ini dengan bersungguh-sungguh,” katanya penuh semangat.

Bagi Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Sherina Nordin, ini merupakan inisiatif besar pihak mereka pada tahun 2015 dalam melaksanakan kempen berkenaan dan berharap ia dapat memberi sesuatu yang positif kepada masyarakat di luar sana.
Ungku Ismail harap kempen ini dapat membantu masyarakat lebih memahami apa itu kanser

“Kami tersentuh apabila Ungku Ismail Aziz yang pada mulanya diberikan watak dalam telefilem TV3 berjudul ‘Travelling Beruang’ membuka hatinya dalam memulakan inisiatif ini. Niat ikhlasnya membuatkan kami terpanggil untuk memainkan peranan kami sebagai sebuah syarikat media dan hasil perbincangan bersama, kami mahu membawa kempen ini kepada skala yang besar. Alhamdulillah, Air Asia dan Altel juga turut berminat menjayakan kempen ini dan kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat,” ujar Sherina.

Menyentuh mengenai telefilem ‘Travelling Beruang’, Ungku Ismail memberitahu dia memegang watak utama untuk telefilem arahan Syahid Johan dan Jay ini. ‘Travelling Beruang’ mengisahkan tentang seorang novelis yang kehilangan anak akibat kanser. Sejak itu perangainya terus berubah dan tidak lagi kisah mengenai diri mahupun kehidupan, sehingga isterinya juga bertindak mahu meninggalkannya.
Di dalam telefilem ‘Travelling Beruang’, Ungku Ismail membawa watak seorang ayah yang kehilangan anaknya akibat kanser

Novelis tersebut kemudian berjumpa dengan kawannya bagi menceritakan tentang masalah yang dihadapi. Kawannya itu juga mempunyai seorang anak yang menghidap kanser di mana dia turut mempunyai cita-cita untuk mengembara. Dari situ, novelis tersebut mengambil patung beruang milik anak kawannya itu untuk merealisasikan impian kanak-kanak tersebut dan juga impian arwah anaknya.

“Telefilem ini masih belum menjalani penggambaran lagi dan sebab itulah saya mempunyai masa yang agak panjang untuk membuat rujukan. Kami akan memulakan penggambaran pada 21 Jun di mana selain shoot telefilem, kami juga akan membuat kapsul untuk kempen ini,” kongsi Ungku Ismail kepada Tonton Extra.

Elalui kempen Travelling Beruang, Ungku Ismail akan mengembara ke tujuh negara
Menerusi kempen yang akan berlangsung bermula Jun itu, Ungku Ismail akan mengembara ke tujuh buah destinasi bersama patung beruang yang pernah dihadiahkan kepada adik Nur Hasmime Abdul Hamid (Mime) yang menghidap kanser darah. Patung beruang itu dijangka akan dibawa ke lokasi seperti Perth (Australia), Lombok (Indonesia), Siam Reap (Kemboja), Chongqing (China) dan Ho Chi Minh (Vietnam).

“Kami akan pergi ke Lombok dan dua destinasi lain terlebih dahulu sebelum bercuti dua minggu untuk menyambut Aidilfitri. Kemudian kami akan sambung ke tiga lagi destinasi lain dan InsyaAllah, ia dijangka ditayangkan pada Oktober. Saya juga merancang untuk pergi ke setiap hospital bagi melawat pesakit kanser kanak-kanak di sana. Selain itu, saya akan cuba minta dengan kanak-kanak yang saya jumpa di tepi jalan untuk mereka ambil gambar dengan patung beruang ini,” tuturnya.

Di setiap destinasinya, Ungku Ismail merancang mahu melawat pesakit kanser kanak-kanak
Sementara itu, Air Asia serta rakan kerja di Tune Insurance yang menjadi penaja utama projek Travelling Beruang ini akan menjual replika patung Travelling Beruang berharga RM59.90 di dalam pesawat mereka. Hasil kutipan dana akan disalurkan ke tabung Travelling Beruang MAKNA untuk membantu kanak-kanak yang menghidapi kanser. Sumbangan juga boleh dilakukan menerusi akaun Maybank, Tabung Travelling Beruang MAKNA di 5140 7561 6705. Perjalanan penuh inspirasi ini akan dikemaskini di laman rasmi Travelling Beruang, www.travellingberuang.com.my serta kapsul ringkas menerusi TV3.