Gaya hidup punca kanser payudara


Habiba (duduk, tengah) bersama peserta dari Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan dan Persatuan Ibu Tunggal Mas merah Wilayah Persekutuan dan Selangor

SEREMBAN – Faktor gaya hidup dan pemakanan menjadi punca ramai wanita menghidap kanser payudara.

Fasilitator Program Majlis Kanser Nasional (Makna), Habiba Abd Rahman berkata, wanita yang mengamalkan pemakanan tidak sihat dan merokok mudah mendapat kanser payudara.

“Wanita yang tidak mementingkan kesihatan dengan memakan makanan berlemak dan kurang bersenam mudah mendapat kanser
“Mereka yang sering kali stres dengan kehidupan juga penyumbang kepada penyakit kanser kerana stres akan mempengaruhi hormon yang memudahkan pelbagai penyakit datang,” katanya.

Menurutnya, kurang kesedaran terhadap pemeriksaan payudara sendiri juga menyebabkan ramai wanita tidak menyedari mereka penghidap kanser payudara.

“Kanser boleh diubati sekiranya kita dapat mengesannya pada peringkat awal dan sebab itu pentingnya untuk kita melakukan pemeriksaan payudara sendiri
“Jika kita malu untuk membuat pemeriksaan di klinik atau hospital, kita boleh melakukannya di rumah dengan mengikut kaedah yang betul. Sebaiknya, buang perasaan malu itu dan buat pemeriksaan di hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Kempen ‘Kekal Aktif, Hidup Sihat, Sayangi Payudara Anda’ di Kilang Yakult, di sini, semalam.
Pada program berkenaan, seramai 50 ibu tunggal dari Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan dan Persatuan Ibu Tunggal Mas merah Wilayah Persekutuan dan Selangor hadir menyertai aktiviti kesihatan yang dianjurkan Yakult.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah Zumba, ceramah kesihatan payudara oleh Makna dan pemeriksaan kesihatan dan payudara.