Ukir senyuman pesakit kanak-kanak

Article Link

SUASANA ketika menerima rawatan hemodialisis pada pagi itu sedikit suram buat si genit Airen Nurain Nazemir, 8, apabila bayang-bayang sang penghibur tidak muncul di wad kanak-kanak Hospital Selayang, Selangor.

“Mana Doktor Badut? Kenapa dia belum datang lagi? Doktor Badut janji nak datang hari ini tapi kenapa tak sampai lagi,” tanya Airen Nurain kepada ibunya dengan perasaan sedikit kecewa.

Sambil menanti kehadiran sang penghibur, dia bermain permainan video di telefon pintar.
Ketika sedang leka dengan telefon pintarnya kelihatan kelibat seorang lelaki berpakaian putih dan berhidung merah muncul di bilik rawatan tersebut.
Wajah Airen Nurain yang muram terus tersenyum riang sebaik melihat sang penghibur muncul bersama seekor maskot burung berwarna hijau.

“Doktor kenapa lambat? Saya nak doktor menari ikut lagu ini,” pintanya kepada sang penghibur.

Tanpa melengahkan masa Doktor Badut tersebut memenuhi permintaan anak kecil itu.
Riak wajah Airen Nurain kelihatan seperti kanak-kanak normal, namun di sebalik setiap senyuman di wajahnya seakan-akan mahu menyembunyikan kesakitan yang dialaminya setelah disahkan menghidap penyakit buah pinggang sejak berumur dua tahun.
Menjadi rutin harian Airen Nurain untuk datang ke Hospital Selayang tiga kali seminggu bagi menjalani rawatan dialisis.
Menurut ibunya, Siti Mahfuzah Makpol, 38, pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat Airen Nurain akan ke hospital itu bagi menerima rawatan.

“Rabu adalah hari yang ditunggu-tunggunya kerana dia akan berjumpa dan dihiburkan oleh Doktor Badut.
“Saya turut gembira setelah melihat senyuman terukir di wajahnya setiap kali berjumpa Doktor Badut,” jelasnya.

Walaupun memiliki Ijazah Kejuruteraan Kimia dari Universiti Bradford, England insan bernama Iskandar Syah Ismail, 39, atau dikenali sebagai Doktor Badut lebih gemar melakukan kerja amal dengan menghiburkan pesakit kanak-kanak.
Menurut Iskandar Syah, jiwanya lebih suka melakukan kerja amal dan dia memperoleh satu kepuasan berharga apabila dapat menceriakan pesakit kanak-kanak di hospital.

“Walaupun kerjaya ini tidak menjanjikan pendapatan yang lumayan tetapi ia memberi kepuasan kepada saya apabila dapat mengurangkan seketika penderitaan yang dialami oleh pesakit kanak-kanak,” jelasnya.

Tambahnya, idea untuk menjadi Doktor Badut ini tercetus ketika menjadi sukarelawan di Majlis Kanser Nasional (Makna).
Ketika berkhidmat dengan Makna, dia sering melawat wad kanak-kanak yang menghidap penyakit kanser.

“Saya boleh rasakan mereka bosan di hospital tetapi akan mengukir senyuman bila dihiburkan,” katanya.
Pada tahun 2000, Iskandar Syah terbang ke Amerika Syarikat dengan perbelanjaan sendiri bagi mengikuti program Doktor Badut.
“Setelah mendapat tahu bahawa di Amerika Syarikat ada program Doktor Badut yang beroperasi sejak 1986, saya memutuskan untuk mendalami ilmu di sana.
“Saya mempelajari ilmu dan teknik untuk menghibur serta berinteraksi dengan kanak-kanak yang menghidap penyakit serius,” ujarnya.

Selain itu, Iskandar Syah juga pernah ke Australia dan Sepanyol untuk mempelajari kaedah Doktor Badut di negara tersebut.
Tambahnya, Doktor Badut sebenarnya mempunyai kepentingan dalam perkembangan positif buat pesakit terutamanya kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik dan kritikal seperti kanser.
Tujuan utama Doktor Badut adalah membantu pesakit melupakan seketika penderitaan yang dialami mereka.

“Dalam bidang tugas ini saya meletakkan sensitiviti pesakit di tangga teratas kerana konsepnya berbeza daripada badut penghibur yang lain.

“Apabila bertugas di hospital, saya hanya memerlukan hidung merah dan tidak perlu memakai mekap tebal supaya tidak menakutkan pesakit terutamanya kanak-kanak,” tuturnya.

Tambah anak kelahiran Jerantut, Pahang itu, sebagai Doktor Badut, dia banyak menggunakan teknik improvisasi ketika berhadapan dengan pesakit kanak-kanak.
Jika pesakit adalah bayi dan kanak-kanak berusia bawah enam tahun, dia akan menggunakan buih sabun dan peti muzik mini untuk menghiburkan mereka. Bagi pesakit berumur enam hingga 12 tahun pula dia menggunakan kaedah silap mata, nyanyian, tarian dan beberapa prop untuk menarik perhatian mereka.

Iskandar Syah yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik berkata, Doktor Badut mempunyai cabaran tersendiri dan antaranya meyakinkan pihak Hospital mengenai keberkesanan program tersebut.
Sepanjang menjadi Doktor Badut, Iskandar Syah pernah menitiskan air mata setelah dapat menunaikan hajat seorang kanak-kanak penghidap kanser sebelum pesakit itu menghembuskan nafas terakhir.

“Ayah pesakit tersebut menyatakan anaknya mahu saya menghiburkannya sempena sambutan hari jadinya. Saya datang pada majlis tersebut dan menghiburkannya walaupun ketika itu dia sudah tenat.
“Beberapa hari selepas itu, saya mendapat panggilan bahawa pesakit tersebut telah menghembuskan nafas terakhirnya. Namun, saya berasa puas hati kerana telah menunaikan hajat terakhirnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, kegigihan Iskandar Syah dalam menghiburkan pesakit kanak-kanak ini telah menjadikannya peneraju Doktor Badut di Malaysia dengan tertubuhnya Persatuan Penghibur Kanak-Kanak Buih Merah Kuala Lumpur dan Selangor atau lebih dikenali sebagai Red Bubbles yang menyediakan khidmat sukarelawan untuk menghiburkan pesakit di hospital.
Sebelum ini Iskandar Syah bergerak secara solo sebelum dia menubuhkan Red Bubbles yang kemudiannya disertai lagi dua orang Doktor Badut dan empat orang ahli yang membantu mencari dana untuk mereka menjalankan kerja sukarelawan itu.
Sehingga kini, Iskandar bersama Doktor Badut yang lain akan meluangkan masa kira-kira tiga jam untuk mengadakan lawatan berkala seminggu sekali di wad kanak-kanak di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Selayang.
Kami sememangnya memerlukan dana bagi meneruskan kerja amal ini dan mereka yang berhasrat untuk menyumbang dana kepada Red Bubbles dalam membantu menghiburkan pesakit kanak-kanak ini boleh menyampaikan sumbangan ke dalam akaun Maybank 5640 7000 2826.