Bincang idea, inisiatif lawan kanser

Article Link
Sampai hari ini, perkataan kanser itu begitu menggerunkan apatah lagi apabila ia menimpa diri sendiri. Meskipun sudah banyak usaha menyebarkan maklumat dan kesedaran mengenai kanser, masih ada yang kurang tahu mengenainya dan tidak kurang yang berputus asa untuk meneruskan hidup tatkala disahkan menghidapnya.
Justeru itu, sempena sambutan Hari Kanser Sedunia tahun ini, Majlis Kanser Nasional (MAKNA) menganjurkan simposium bertajuk ‘Kami Boleh. Saya Boleh – Bersama Melawan Kanser di Malaysia’.

Objektif simposium jelas untuk menjadi platform supaya semua pihak sama ada kerajaan, korporat atau persatuan sosial dapat tampil bagi membincangkan idea dan inisiatif melawan kanser selain mengurangkan beban yang ditanggung akibat penyakit yang menggerunkan ini.

Pengurus Besar MAKNA Farahida Mohd Farid menegaskan kepentingan semua pihak berpadu tenaga dan merangka pelan serta polisi yang lebih baik untuk masa depan rakyat negara ini khususnya dalam penjagaan kanser.
Antara ahli panel dalam simposium berkenaan adalah Perunding Klinikal Onkologi Hospital Sultan Ismail Johor Bahru Dr Mohd Roslan yang mewakili Institut Kanser Kebangsaan Malaysia, Pengurus Kanan Pengaktifan Jenama WWF Suan Tan dan Pengarah Urusan I First International Consultancy Dr Sudeep Mohandas.

Apabila bercakap mengenai kanser, selama ini perhatian diberikan kepada aktiviti meningkatkan kesedaran dan pengumpulan dana tetapi kali ini ahli panel simposium mahukan pendekatan yang lebih baik demi manfaat semua pihak selain membincangkan keperluan kajian berterusan bagi mengetahui punca sebenar kanser supaya ia dapat dicegah.

Menurut statistik yang dibentangkan oleh Dr Roslan, kanser berada di tangga keempat dalam menyebabkan kematian rakyat negara ini. Secara umumnya antara kanser utama yang ba¬nyak mengorbankan nyawa adalah kanser payudara, usus, paru-paru, serviks dan nasofarinks (farinks terletak di atas lelangit lembut dan bersambung dengan lubang hidung).
Satu perkara lagi yang tidak kurang penting ialah penjagaan bersepadu bagi ahli keluarga yang kehila¬ngan orang tersayang akibat kanser. Penjagaan dan sokongan yang sewajarnya amat penting tetapi ia sering diketepikan.
Akhir sekali ialah membangunkan strategi baru untuk mengurangkan risiko gaya hidup khususnya merokok, pengambilan alkohol, diet dan tabiat pemakanan serta senaman.

Hari Kanser Sedunia diraikan pada 4 Februari setiap tahun di seluruh dunia dengan satu tema yang sama. Ia bertujuan mengurangkan kematian akibat kanser melalui pelbagai aktiviti bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dan menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Kempen tiga tahun dengan slogan ‘Kita Boleh. Saya Boleh’ dipilih untuk mengetahui bagaimana setiap anggota masyarakat boleh mengambil bahagian dalam usaha mengurangkan beban akibat kanser. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman Facebook MAKNA di www.facebook.com/maknacancer atau www.worldcancerday.org.