Kikis Sikap Tidak Ambil Peduli Demi Kesihatan Diri – Dr Jeyaindran Sinnadurai

Article Link

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) — Sikap tidak mengambil peduli dan tidak mahu melakukan pemeriksaan kesihatan merupakan antara cabaran dalam pengurusan penyakit kanser di negara ini, kata Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan) Kesihatan Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai agar melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun sebagai langkah awal bagi mengesan kanser.

“Pemeriksaan kesihatan boleh dibuat dua kali setahun mengikut nasihat doktor dan pengesanan awal mungkin dapat mengurangkan kadar kematian disebabkan kanser,” katanya pada program ‘Breakfast Talk’ Siri 2/2016 di Institut Integriti Malaysia (IIM), di sini hari ini.

Dr Jeyaindran berkata pada 2014, sejumlah 90,000 pesakit dirawat sebagai pesakit kanser.

Sementara itu, Pengurus Besar Majlis Kanser Negara (Makna) Farahida Mohd Farid berkata mengikut laporan Makna 2013, sejumlah 45,000 rakyat Malaysia dilaporkan menghidap kanser dan jumlah itu dilaporkan meningkat setiap tahun.

“Langkah yang paling mudah untuk mencegah adalah dengan menukar pola pemakanan dan mengamalkan gaya hidup aktif yang diakui pakar perubatan bahawa ia mampu menjadikan sistem peredaran darah lebih baik serta menjadikan sistem imunisasi tinggi,” katanya.

Seorang bekas pesakit kanser paru-paru tahap empat, Mohd Zulhaimi Suderman, 39, melahirkan kekesalan kerana tidak menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengesan penyakit itu lebih awal namun bersyukur kerana pulih sepenuhnya setahun lalu.

“Saya sering sakit dada serta batuk berpanjangan selama setahun setengah dan tidak menyangka ia adalah petanda penyakit kanser paru-paru.

“Nasihat saya, janganlah sesekali menganggap setiap kesakitan yang anda alami adalah perkara biasa. Saya mohon agar anda merujuk kepada doktor sebelum ia menjadi lebih mudarat,” katanya.

Program ‘Breakfast Talk’ Siri 2/2016 yang berlangsung setengah hari itu memberi fokus kepada isu dan cabaran menangani aspek ‘Penjagaan Kesihatan Kanser, Tanggungjawab Kita: Perspektif Integriti’ diadakan sempena sambutan Hari Kanser Sedunia pada 4 Feb.