Lapan lagi rumah perantaraan Makna bakal dibuka tahun ini

Article Link
JOHOR BAHARU 17 Mac – Majlis Kanser Nasional (Makna) merancang untuk membuka lapan lagi Rumah Perantaraan Makna di seluruh negara, tahun ini.

Timbalan Pengurus Besar Makna, V. Appannah berkata, pembukaan baharu itu termasuk tiga yang dirancang masing-masing di Bertam, Pulau Pinang; Kubang Krian, Kelantan dan Kuching, Sarawak.

Katanya, Makna buat masa ini hanya mempunyai sebuah rumah perantaraan iaitu di Taman Austin Perdana, Johor Baharu yang berupaya menampung sembilan pesakit kanser dalam setiap bilik pada satu masa.

“Pesakit yang menginap di rumah ini terdiri daripada mereka yang membuat rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) yang memerlukan tempat penginapan yang selesa seperti berada di rumah.

Turut disediakan, pengangkutan secara percuma bagi memudahkan mereka bergerak sama ada ke hospital atau mana-mana tempat rawatan.
Selain itu, setiap rumah juga ditempatkan seorang jururawat terlatih dan pembantu kesihatan bagi memantau dan memberi bantuan kepada pesakit,” katanya pemberita selepas merasmikan pembukaan Rumah Perantaraan Makna, di sini hari ini.
Dari segi kos, Appanah berkata, penyediaan rumah perantaraan menelan kos lebih RM45,000 bagi penyediaan reka bentuk dan kemudahan yang bersesuaian untuk pesakit kanser.
Katanya, ia dikhususkan kepada pesakit kanser yang kurang berkemampuan dan tinggal jauh daripada hospital kerajaan supaya mereka dapat menguruskan diri ketika mendapatkan rawatan kimoterapi dan radioterapi.
Ini sekali gus dapat membantu memulihkan semangat pesakit kanser selain menggalakkan mereka untuk tidak mudah mengalah dan sering berikhtiar untuk pulih dari penyakit berkenaan, tambahnya.- BERNAMA