11 March 2005
ARB Perkenalkan Pelan Pewarisan Amal
Kaedah wasiat harta untuk manfaat pesakit kanser
Dermawan yang berhasrat membuat amal jariah dengan memperuntukkan sebahagian daripada harta pusaka mereka kepada majlis Kanser Nasional (Makna), kini boleh berbuat demikian dengan adanya pelan 'ARB-Makna Legacy Plan.'
Pelan istimewa dikenali Pelan Pewarisan Amal itu adalah yang pertama diperkenalkan di Malaysia. Ia membolehkan dermawan yang prihatin menyumbang sebahagian daripada harta pusaka mereka kepada pertubuhan yang mewakili golongan kurang bernasib baik.
Sumbangan mereka akan disalurkan kepada Makna dan seterusnya kepada pesakit kanser yand memerlukan bantuan terutama dari segi pembiayaan kos rawatan kanser, kimoterapi, program penyelidikan dan kesedaran mengenai kanser.
Pengarah Urusan Amanah Raya Bhd (ARB), Ahmad Rodzi Pawanteh, berkata dengan adanya pelan pewarisan amal, itu, orang ramai boleh mewasiatkan sehingga maksimum satu pertiga daripada harta pusaka mereka untuk disumbandkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Makna.
"Konsep Pelan Pewarisan Amal itu tidak bertentangan dengan syariat agama kerana mengikut undang-undang perwarisan dan perwasiatan Islam, dermawan Islam boleh memperuntukkan satu pertiga daripada harta pusaka mereka kepada bukan waris.
"Dalam kes ini, mereka boleh mewasiatkan sehingga maksimum satu pertiga daripada harta pusaka mereka kepada Makna menerusi ARB-Makna Legacy Plan, yang mana wasiat berkenaan hany boleh dilaksanakan ARB yang bertindak sebagai wasi atau pemegang amanah selepas penderma meninggal dunia," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis memeterai memorandum persetujuan dengan Makna dan dua raka strategik ARB, Teroka Harmoni Sdn Bhd dan ZAR Perunding Pusaka Sdn Bhd untuk mempromosikan khidmat pewarisan pusaka itu di Kuala Lumpur, semalam.
ARB diwakili Ahmad Rodzi dan Makna pula oleh Presidennya, Datuk Mohd Farid Ariffin manakala Teroka Harmoni oleh Pengarahnya, Asma Laili Moh Isa serta ZAR Perunding oleh Pengerusinya, Abdul Aziz Hassan sambil disaksikan Pengerusi ARB, Datuk Dusuki Ahmad.
Ahmad Rodzi berkata, bagi penganut bukan Islam pula, mereka masih boleh mewasiatkan harta pusaka mereka kepada Makna menerusi ARB-Makna Legacy Plan dengan melantik ARB sebagai pelaksana wasiat dan jumlahnya terpuland kepada seberapa banyak yang ingin didermakan.
Selain wang dan harta pusaka, aset tetap seperti tanah juga masih boleh disumbangakan kepada ARB-Makna Legacy Plan, sekiranya mereka berhasrat mendirikan hospital, klinik atau pusat penyelidikan kanser, yang mana dalam kes ini, ARB akan menguruskan tanah mereka dan kemudian memberikannya kepada Makna untuk digunakan.
"Pelan ini dapat menyedarkan masyarakat bahawa mereka boleh menyumbang bagi tujuan amal jariah yang berkekalan walaupun selepas meninggal dunia dan pada masa sama, meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menulis wasiat," katanya.
ARB yang ditubuhkan pada 1921 menyediakan perkhidmatan pengurusan pewarisan, wasiat, pentadbiran amanah serta pemegang amanah kepada 68 dana amanah saham bernilai RM54 bilion.
Source by: Metro