26 May 2008
Belia Rawana tamat berbasikal 2,200km
IPOH 26 Mei - Setelah 25 hari menempuh pelbagai cabaran dalam misi berbasikal mengelilingi Semenanjung sejauh 2,200 kilometer (km) bagi mengumpul dana untuk membantu pesakit kanser, akhirnya seramai 20 ahli Persatuan Belia Rawana, Gopeng selamat tiba di Kompleks Belia dan Sukan Negeri di sini, semalam.
Mereka yang memulakan kayuhan pada 1 Mei lalu, dari Kompleks Belia dan Sukan negeri berjaya menamatkan misi berbasikal itu di tempat yang sama tepat pukul 6 petang dalam keadaan hujan lebat.
Pengerusi Persatuan Belia Rawana, Gopeng, Noradidah Mokhtar berkata, semua peserta yang menyertai misi berbasikal dinamakan 'Kayuhan Makna-2,200 Km Beliawanis Perak' berasa gembira apabila berjaya menamatkan kayuhan mengikut masa yang ditetapkan iaitu selama 25 hari.
Beliau berkata, lebih menggembirakan tiada insiden buruk menimpa mereka sepanjang perjalanan, malah mendapat kerjasama baik daripada orang ramai yang tidak keberatan menghulurkan derma bagi membantu mengisi tabung Majlis Kanser Nasional (Makna) dalam usaha membantu meringankan beban rawatan pesakit kanser di negara ini.
"Misi Kayuhan Makna-2,200 Km Beliawanis Perak berjalan lancar mengikut perancangan dan berjaya mengumpul sebanyak RM6,000 untuk tabung Makna.
"Biarpun jumlah kutipan tersebut tidak mencapai sasaran RM100,000 seperti yang dirancang tetapi kami gembira kerana berjaya menamatkan misi untuk membantu pesakit kanser," katanya ketika ditemui di Kompleks Belia dan Sukan Negeri di sini.
Menurut Noradidah, kegagalan mengumpul dana sebanyak RM100,000 tidak mematahkan semangat ahli persatuannya untuk meneruskan program yang sama pada tahun depan.
Malah, katanya, mereka merancang mengadakan misi kayuhan mengelilingi Perak pada Ogos ini bagi tujuan yang sama dan bercadang menjadikan Misi Kayuhan Makna-2,200 Km Beliawanis Perak sebagai acara tahunan.
Semasa kayuhan terakhir sejauh 130 kilometer dari Tanjung Malim ke Ipoh semalam, para peserta program turut ditemani oleh beberapa pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) termasuk seorang sukarelawan yang menghidap barah otak, Mohd. Rozailee Mustaffa, 29.
Mohd. Rozailee ketika ditemui memberitahu, beliau gembira apabila masih berupaya menyertai misi mencabar itu biarpun hanya pada jarak 130 kilometer.
"Saya hanya mengetahui mengenai misi berbasikal ini semasa dijemput mengadakan ceramah mengenai kanser di UPSI. Jika tahu awal, saya tidak keberatan menyertai misi ini sejak dari Ipoh lagi," katanya yang menghidap kanser otak sejak 2005.
Mohd. Rozailee hanya menyedari menghidap penyakit tersebut selepas dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat cedera selepas dirompak di hadapan Masjid Negara pada 1 Disember 2005.
Biarpun menderita penyakit berbahaya, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial dari Universiti Malaya itu tidak pernah berputus asa untuk meneruskan kehidupan seperti insan normal yang lain.
"Kami pesakit kanser sebenarnya masih boleh melakukan pekerjaan seperti individu yang sihat tetapi sering kali dilayan seperti orang kurang upaya.
"Saya yang pernah bekerja sebagai pengurus di sebuah bank tetapi sudah 10 kali gagal dalam permohonan mendapatkan kerja sehingga akhirnya memilih menjadi sukarelawan bebas untuk memberi ceramah dan kaunseling mengenai penyakit kanser," katanya.
Source by: http://www.utusan.com.my, May 26, 2008