
Covid-19 Vaccination For Cancer Patients
February 23, 2021
MAKNA FOUNDER’S VIRTUAL RUN
July 26, 2022Nurulhuda Abdullah, Penolong Pengurus, Program (Bursary)
Saya menyertai MAKNA pada tahun 2008. Kini, sudah hampir 12 tahun saya bersama MAKNA. Pelbagai cabaran dan pengalaman telah saya perolehi. Di sinilah saya mula mengenal dengan lebih mendalam tentang kanser, kepentingan pengesanan dan tanda-tanda awal kanser, cara pencegahan dan juga rawatan bagi penyakit ini. Ilmu pengetahuan tersebut memberi panduan kepada saya untuk berkongsi tentang kesedaran kanser kepada ahli keluarga dan masyarakat sekeliling saya.
Seawal pembabitan saya di MAKNA, saya berpeluang untuk menyertai projek anak angkat pesakit kanser. Ia sememangya pengalaman pertama yang amat berharga bagi saya. Bertemu dengan si kecil yang lincah dan riang amatlah menyentuh perasaan saya sebagai seorang ibu. Tiada siapa menyangka yang anak kecil itu menghidap penyakit kronik. Ia lebih menyayat hati apabila saya mendapat berita bahawa si kecil itu telah meninggal dunia setelah berjuang melawan kanser selama 2 tahun.
Selain daripada itu, salah satu program yang memberi pengalaman baru yang amat besar nilainya kepada saya ialah ‘homestay’ bersama pesakit. Dalam program ini saya perlu tinggal di rumah pesakit, menjalani dan merasai kehidupan seharian mereka. Di sini, saya dapat melihat ketabahan dan kegigihan pesakit mengharungi segala kesusahan tanpa mengenal erti putus asa. Program ini telah membuka mata saya kepada keperitan hidup dan kesusahan yang dialami oleh pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan.
Tambahan lagi, sepanjang berada di jabatan Bursary; yang berkaitan dengan permohonan bantuan bagi pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan, saya dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang pelbagai jenis latar belakang pesakit ketika menguruskan permohonan bantuan.
Ia memberi motivasi dan semangat kepada saya untuk lebih gigih membantu mereka yang kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan dari segi kewangan untuk mendapatkan rawatan di hospital. Dengan adanya bantuan daripada MAKNA, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh mereka dan membolehkan mereka mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
Saya amat berterima kasih kepada MAKNA kerana telah memberikan pengalaman yang amat berharga. MAKNA memberi kesedaran kepada saya bahawa dengan adanya semangat yang tinggi, fikiran yang positif dan sokongan moral daripada ahli keluarga, pesakit-pesakit akan beroleh kekuatan untuk mengharungi ujian hidup dengan tabah.